Pengenalan TVET - Technical and Vocational Education and Training

TVET adalah satu istilah yang luas merangkumi pelbagai bentuk pendidikan dan latihan yang memberikan tumpuan yang khusus kepada aspek kemahiran yang memenuhi keperluan pasaran kerja dan industri.

TVET Malaysia atau Pendidikan Teknikal dan Kemahiran telah menjadi fokus utama kerajaan dengan mengiktiraf TVET sebagai teras ketiga di dalam Rancangan Malaysia kesebelas (RMK-11) iaitu Meningkatkan Pembangunan Modal Insan di mana transformasi TVET dijadikan salah satu bidang fokus yang telah dikenalpasti.

Kerajaan telah menubuhkan institusi pendidikan teknikal dan kemahiran ini seawal tahun 60 an lagi. Bermula dengan hanya 4 institusi TVET pada sekitar tahun 1960an dan setelah lebih 45 tahun, telah ada lebih 1,300 institusi TVET Awam dan Swasta di seluruh negara.

Dasar baru kerajaan telah mengangkat pendidikan vokasional ke tahap yang lebih tinggi dan tidak lagi dianggap sebagai pendidikan kelas kedua. Hinggakan, sejumlah RM4.9 Billion diperuntukkan untuk menambah baik perlaksanaan TVET di seluruh negara.

TVET sangat penting kerana ianya satu inisiatif yang mampu menjadi nadi dalam memajukan sesebuah negara. Lihat sahaja bagaimana negara Jerman sangat pentingkan pelajaran bidang TVET hinggakan mereka mampu menjadi kunci kepada teknologi dunia.

Bagi mencapai impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi dengan acuan sendiri, negara memerlukan tenaga kerja tempatan yang berdaya saing dan berkualiti tinggi. Sudah semestinya kita tidak mahu lagi bergantung harap sepenuhnya kepada pekerja asing untuk memajukan negara kita. Justeru langkah pihak kerajaan untuk memperkasakan dan menjenamakan semula sistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) adalah satu pendekatan yang amat wajar dan signifikan.

Penjenamaan aliran kemahiran yang lebih dikenali sebagai TVET Malaysia ini boleh dilihat sebagai satu usaha bagi memantapkan koloborasi di antara semua pihak berkepentingan dalam bidang TVET di semua peringkat, di samping dapat mempromosi TVET sebagai pendidikan pilihan dan kerjaya masa depan yang lumayan dan mempunyai potensi yang tinggi.